Perhubungan
suami isteri mempunyai banyak cabarannya. Ada kala suka, ada kala duka.
Namun kebijaksanaan kedua-duanya mengatasi segala-galanya. Jika bijak
menanganinya maka rumah tangga itu akan bahagia tetapi jika sebaliknya,
maka berantakan..
Bagi
mengekalkan keharmonian rumah tangga suami isteri harus sama-sama tahu
bagaimana untuk mengukuhkannya. Sekiranya kasih sayang nampak semakin
pudar, cepat-cepatlah pulihkannya.
Ini kerana jika dibiarkan, akan terus melarat sehingga mendatangkan masalah yang boleh meruntuhkan bahtera perkahwinan itu.
Teringat
kisah seorang kawan yang sedang menghadapi krisis dengan suaminya iaitu
Noraini (bukan nama sebenar) dan suami, Ismail (bukan nama sebenar).
Menurut
Noraini, mereka tidak bergaduh tetapi dia cuma berasa suaminya tidak
menyayanginya lagi. Namun begitu Ismail masih menjalankan
tanggungjawabnya sebagai ayah kepada dua orang anak.
Masalah
di sini, Noraini merasakan bahawa agak sukar untuknya menjadi isteri
yang terbaik kepada Ismail apabila kasih sayang itu tidak diperoleh.
Kata
Noraini, Ismail cuma mahu dirinya bertindak sebagai ibu kepada
anak-anaknya dan bukannya sebagai wanita, isteri dan rakan karib.
Namun,
Noraini yakin Ismail masih menyayanginya dan sayangnya pada suami juga
masih kental seperti awal perkahwinan, cuma masing-masing tidak pandai
untuk meluah atau membajai kasih sayang tersebut membuatkan ia semakin
pudar.
Inilah
antara asam garam kehidupan rumah tangga yang sentiasa berada dalam
ranjau dan duri, jika tidak dibaja oleh perasaan dan ikatan yang ada
sebaik mungkin, maka ia akan layu dan gugur ke tanah.
Bagi
membantu Noraini dan wanita lain yang mengalami nasib sama, berikut
beberapa tip yang mungkin boleh memulihkan semula rumah tangganya yang
semakin pudar supaya bahagia dan sejahtera.
Apa yang anda boleh dilakukan
- Luahkan masalah yang selama ini dipendam, pilihlah masa yang sesuai untuk berbincang mengenainya.
-
Sentiasa mendengar apabila suami bercakap, jangan sesekali memotong
atau menyampuk percakapannya. Jadi teman mendengar yang setia.
- Mendahulukan keperluan dan permintaan suami daripada kehendak pihak lain sekali pun anak atau saudara mara.
- Menjauhi kata-kata dan tingkah laku yang boleh menyinggung perasaan suami.
- Bercuti atau menghabiskan masa berdua tanpa anak-anak bagi mengeratkan perhubungan suami isteri.
- Berhias dan memakai bau-bauan untuk suami.
- Berbicara dengan nada lembut dan baik ketika bersama suami.
- Pamerkan wajah riang dan senyuman manis ketika suami pulang.
- Tunjukkan gambar-gambar di saat gembira terutama pada hari perkahwinan dan percutian bersama- sama anak-anak.
- Berusaha untuk melayan suami mengikut kegemaran dan kesukaannya sama ada dari segi makanan dan keperibadian.
-
Ketika suami sedang marah, isteri perlu mendiamkan diri kerana akan
meredakan kemarahannya dan menghindari daripada pertengkaran.
- Tidak mudah merajuk dan mengeluh tetapi haruslah bersabar terutama ketika hati disakiti oleh suami.
- Selalu berdoa kepada Allah supaya kasih sayang berpaut dan suami kembali kepada kita.
-
Fikirkan kebaikan pasangan selama ini. Jangan cari kelemahan tetapi
keistimewaan yang ada padanya sehingga jatuh cinta kepadanya dahulu. Ini
akan menimbulkan kembali kasih sayang yang mendalam terhadap pasangan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar